Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SERDANG: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan harga santan segar akan stabil semula pada awal bulan depan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata harga santan masih mahal ketika ini berikutan masih dalam musim perayaan.

“Mungkin bulan depan akan stabil, namun kita juga ambil langkah import tambahan lagi (kelapa) dari Sabah, Sarawak dan Indonesia.

“Jadi, kita beri jaminan harga santan segar tak ada masalah pada bulan depan. Aidiladha pun akan stabil sebab sekarang ini musim ‘rumah terbuka’ masih berjalan,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan dan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri KPKM di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak. 

Sementara itu, mengulas harga bekalan lembu sepanjang Syawal, Mohamad berkata, tidak berlaku sebarang kenaikan dalam tempoh itu dan berharap harga akan kekal selepas ini tanpa perubahan mendadak.

Ditanya 25 ternakan terutama kerbau yang mati akibat dijangkiti penyakit ‘Heamoragic Septicaemia’ (HS) atau hawar berdarah di daerah Kuala Terengganu sejak minggu lalu, beliau berkata, perkara itu dalam pemantauan dan dikawal ketika ini.-BH Online