KUALA LUMPUR: Malaysia dan negara-negara Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA) bersetuju meneroka kerjasama dalam bidang latihan semula tenaga kerja serta amalan buruh mampan susulan pemeteraian Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-EFTA 11 April lalu.
Negara EFTA membabitkan Norway, Switzerland, Iceland dan Liechtenstein.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, berkata kerjasama strategik itu membuka peluang luas bagi pertukaran pengetahuan praktikal, selain memperkukuh latihan vokasional, latihan semula tenaga kerja dan perlindungan hak pekerja di negara ini.
“Pelbagai pembaharuan pasaran buruh Malaysia diketengahkan termasuk penambahbaikan terhadap lebih 100 undang-undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH), peningkatan 20 peratus kadar bayaran manfaat PERKESO, kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 serta pelaksanaan inisiatif gaji progresif.
“Malaysia komited untuk membawa standard pasaran buruh ke tahap antarabangsa.
“Kerjasama itu juga akan memperkukuh daya tahan ekonomi serta menyokong pertumbuhan mampan dan inklusif selari dengan amalan terbaik antarabangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, delagasi EFTA diketuai Ketua Delegasi Iceland, Grímur Grimsson, yang menekankan bahawa FTA berkenaan bukan sekadar mengenai perdagangan, malah mencerminkan komitmen kukuh terhadap hak asasi manusia, standard buruh dan perlindungan alam sekitar.
Grimsson juga menyatakan minat mendalam untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang latihan semula tenaga kerja dan penciptaan pekerjaan berasaskan inovasi.
Mengulas lanjut, Sim berkata, perbincangan berkenaan bagi mengenal pasti beberapa bidang utama seperti perkongsian kepakaran dalam meningkatkan sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia dengan mengambil inspirasi daripada pendekatan pendidikan EFTA yang mengintegrasikan pembelajaran di tempat kerja.
“Ia juga bagi membangunkan peluang pekerjaan dalam sektor teknologi maju seperti tenaga boleh diperbaharui, teknologi perikanan dan inovasi kesihatan.
“Selain itu ia bagi meneroka amalan terbaik dalam keselamatan pekerjaan, sistem keselamatan sosial dan pengukuhan peranan kesatuan sekerja,” katanya.
Menurut Sim, kerjasama strategik itu akan memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia serta menyokong pertumbuhan mampan dan inklusif sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa.
“Ketika Malaysia berusaha mentransformasikan persepsi terhadap pendidikan vokasional dan memperkasa tenaga kerja dengan kemahiran masa depan termasuk keupayaan kecerdasan buatan (AI), kami amat mengalu-alukan dialog dan kerjasama lebih mendalam dengan negara-negara EFTA.
“Saya percaya usaha bersama itu akan memberikan manfaat besar kepada pekerja dan industri, serta memperkukuh kedudukan Malaysia dalam menghadapi cabaran ekonomi global,” katanya.
Delegasi seramai 20 orang itu turut disertai oleh Ketua Delegasi Switzerland, Thomas Aeschi; Ketua Delegasi Norway, Trine Lise Sundnes; Ketua Delegasi Liechtenstein, Sebastian Gassner serta Duta Besar Switzerland ke Malaysia, Chantal Moser.-BH Online