Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

LONDON: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Grid Tenaga ASEAN (APG) akan menjadi tonggak yang berupaya memperkukuh jalinan kerjasama antara negara anggota dalam kerangka kerjasama serantau itu.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata berdasarkan kepentingan kerjasama itu, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini akan menumpukan usaha merealisasikan APG, seterusnya meningkatkan keterjaminan, akses dan kemampuan tenaga di rantau ini.

Mengambil contoh kejadian letupan gas di Putra Heights, dekat Subang Jaya pada 1 April lalu, Fadillah berkata insiden itu menyebabkan saluran gas terpaksa ditutup sehingga menjejaskan orang ramai dan industri. 

Bagaimanapun, katanya hasil hubungan baik dengan Thailand, negara jiran itu telah membekalkan gas kepada Malaysia seterusnya dapat menampung dan mengurangkan kesan kepada kira-kira 200 industri dan pengguna.

“Orang melihat kejadian itu (setakat) di situ (Putra Heights) saja, tetapi kesannya sampai ke utara (Semenanjung). Gas dari selatan tidak sampai (di sana) disebabkan aliran paip gas terpaksa ditutup kerana kalau tidak, ia (letupan) akan merebak ke tempat lain.

“Kita berterima kasih kepada Thailand kerana menghulurkan bantuan,” katanya pada majlis makan malam dan ramah mesra bersama rakyat Malaysia di United Kingdom (UK) di Suruhanjaya Tinggi Malaysia London di sini pada Jumaat.

Seramai 80 orang menghadiri majlis itu, terdiri pelajar Malaysia, wakil syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan kakitangan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London.

Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK dan Ireland Utara, Datuk Zakri Jaafar; Ketua Pegawai Tenaga Baharu Tenaga Nasional Bhd (TNB), Mohd Zarihi Mohd Hashim; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Bhd, Datuk Sharbini Suhaili serta delegasi dari Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Fadillah berkata bantuan diberikan Thailand itu jelas membuktikan APG sangat diperlukan oleh negara anggota ASEAN terutama jika berlaku kejadian tidak diingini.

“Misalnya Vietnam, Indonesia dan Laos mempunyai angin yang kuat dan boleh mendapat sumber tenaga daripada angin.

“Bagaimanapun, ada masa jika mereka kekurangan angin untuk menghasilkan tenaga, negara anggota lain akan membantu. Ini menunjukkan jika kita dapat bekerjasama secara serantau, ia dapat menjamin bekalan tenaga yang mencukupi dan pada kadar mampu dibiayai. Inilah (APG) yang kita rencanakan,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri tiba di sini dari Turkiye pada Rabu untuk mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak mengenai Masa Depan Keselamatan Tenaga di Lancaster House yang berlangsung selama dua hari bermula Khamis.-BH Online