Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

IPOH: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat tidak tergugat dengan ‘celoteh-celoteh’ negatif termasuk di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, sebaliknya melihat kepada masa hadapan negara dan pencapaian yang dikecapi.

Perdana Menteri berkata, rakyat perlu melihat kepada masa depan negara termasuk perkembangan Kecerdasan Buatan (AI) dan latihan anak-anak muda dalam bidang kejuruteraan serta industri-industri lain.

Katanya, ancaman tarif timbal balik yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) seharusnya membuatkan rakyat Malaysia membina kekuatan baharu khususnya dalam melatih golongan muda, bakat, kecekapan, dan kepintaran baharu dalam kejuruteraan dan AI.

“Jangan kita cuai, pandang ringan dan digugat dengan celoteh-celoteh…. Sekarang kita bercakap soal digital, AI. Negara terancam dengan tarif. Harus ada kekuatan baharu dalam melatih anak-anak kita, bakat, kecekapan, kepintaran baharu dalam kejuruteraan, dalam AI.

“Tapi apa yang dibicarakan adalah soal takut Kristian, Cina nak telan kita, DAP ni hantu… tak selesai. 

“Saya tidak mengatakan kita tidak boleh bicara….Boleh, tetapi lihatlah kepada masa depan, pandanglah kepentingan anak-anak kita. Apakah kita mampu kekalkan tahap ini atau kita lonjak laju?” kata Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun ketika berucap dalam Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 bersama YAB Perdana Menteri peringkat Perak di Stadium Indera Mulia, di sini malam ini.null

Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu dan Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Lebih 15,000 pengunjung hadir memeriahkan Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 anjuran Kerajaan Negeri Perak dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan selaku kementerian peneraju.

Anwar berkata, penolakan gagasan multilateral oleh Presiden AS, Donald Trump melalui penetapan tarif timbal balik setakat ini memberi kesan negatif kepada Malaysia namun di tahap minima, justeru kekuatan daya tahan dan juang harus dibina melalui kesatuan.

“Kita mesti bina kekuatan daya tahan, daya saing, dan daya juang kita. Bahawa kekuatan kita ada, kita bersatu, kita mahu negara kita maju dan kita tidak mahu mana-mana negara akan menghambat dan menyekat kemaraan kita.

“Itulah sebabnya mengapa langkah-langkah domestik kita pertingkatkan. Dalam beberapa minggu ini saya sentiasa menghubungi rakan-rakan saya di ASEAN. 

“Dalam semua hubungan dan perbincangan saya dengan pimpinan ASEAN, usaha bilateral diteruskan tetapi usaha bersama multilateral ASEAN diperkuatkan kerana bila kita bicara atas nama ASEAN,” kata Anwar yang juga Pengerusi ASEAN.

Katanya lagi, selain langkah domestik dipertingkatkan menerusi kerjasama dalam ASEAN, pasaran baharu juga cuba dibuka termasuk melalui hubungan baik dengan Brazil dan Afrika Selatan yang diperakui kekuatan ekonominya di kontinental masing-masing yang mana ia sudah dibuktikan menerusi syarikat pengeluar kereta nasional Malaysia, PROTON.

“Ini dapat melegakan sedikit, umpamanya pertumbuhan perdagangan termasuk eksport kita ke Mesir yang agak kecil iaitu meningkat 34 peratus dalam satu tahun. 

“PROTON yang sebelumnya sukar untuk menembus, memecah tembok halangan dengan negara sekarang sudah pun berupaya untuk mengeluarkan produk PROTON di Mesir.

“Ini langkah-langkah yang kita ambil dan teruskan. Negara China tentunya menjadi rakan dekat dan bila pemimpin-pemimpinnya datang ke Malaysia bukan sebagai pelawat atau pengunjung biasa tetapi dengan semangat persahabatan yang baik, bagi saya ianya sangat penting untuk menjamin keutuhan ekonomi kita,” katanya.-BH Online