KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu Kuala Lumpur hanya dikenali sebagai kota raya dengan identiti moden termasuk bangunan pencakar langit dan berteknologi tinggi, sebaliknya perlu turut mempertahankan sejarah, budaya serta warisan negara.
Justeru, Perdana Menteri berkata, beliau mencadangkan inisiatif untuk membugar semula Kuala Lumpur dua tahun lalu, dengan menekankan aspek identiti warisan dan kepelbagaian Malaysia, sekali gus memaparkan keunikan bandar raya ini.
“Satu kota itu harus hidup segar dengan fizikal yang menarik dan menawan, sesuai dengan perkembangan teknologi, tetapi ia juga harus mengakar kepada tradisi dan budaya.
“Memang kita tidak akan maju kalau kita tidak menggapai langit, teknologi baharu digital, kecerdasan buatan (AI), bicara mengenai transisi tenaga harus dan wajib kita segerakan tetapi menggapai langit itu harus mengakar ke bumi, ertinya faham sejarah, budaya dan nilai akhlak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meluncurkan Warisan KL: Wajah Baharu Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif dan Pengarah Urusan Think City, Datuk Hamdan Abdul Majeed.-BH Online