Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia mengambil langkah proaktif dalam menangani isu tarif timbal balik yang diumumkan oleh pentadbiran Presiden AS, dengan mengemukakan empat bidang utama untuk rundingan. 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, mengetuai delegasi Malaysia dalam pertemuan dengan Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick, dan Wakil Dagang AS, Jamieson Greer, di Washington DC semalam.

Dalam pertemuan itu, Malaysia secara terbuka menyatakan kesediaannya untuk berunding dalam empat aspek kritikal, yang diyakini dapat mencapai penyelesaian yang saling menguntungkan bagi kedua-dua negara.

Bidang-bidang berkenaan merangkumi usaha untuk mengurangkan defisit perdagangan yang dialami oleh AS dalam dagangannya dengna Malaysia; menangani halangan bukan tarif yang mungkin menjejas kelancaran perdagangan; memperkukuh perlindungan dan keselamatan teknologi dalam kerjasama ekonomi serta meneroka potensi pembentukan perjanjian perdagangan dua hala antara Malaysia dan AS.

Langkah Malaysia ini dilihat sebagai respons positif terhadap penangguhan selama 90 hari yang diberikan oleh AS terhadap cadangan tarif berkenaan. 

Malaysia menyambut baik tempoh ini sebagai peluang berharga untuk mengadakan perbincangan yang konstruktif. 

Tegas menyatakan pendirian untuk tidak mengambil tindakan pembalasan, Malaysia memilih jalan kerjasama dan dialog dalam mencari penyelesaian kepada kebimbangan yang dibangkitkan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump.

Dalam kenyataannya selepas pertemuan, Tengku Zafrul menekankan bahawa Amerika Syarikat telah lama menjadi rakan ekonomi yang penting dan strategik bagi Malaysia.

Beliau turut menyoroti sumbangan signifikan syarikat-syarikat AS kepada ekonomi Malaysia selama ini, yang telah membawa manfaat nyata kepada perniagaan dan pekerja di kedua-dua negara.

MITI turut menarik perhatian kepada prestasi perdagangan dua hala yang semakin seimbang dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, dengan defisit perdagangan AS menunjukkan trend penurunan. 

Justeru, Malaysia bertekad untuk mencari kaedah alternatif bagi menangani kebimbangan AS, sambil memastikan kelangsungan aliran perdagangan yang saling menguntungkan.

“Pertemuan pertama dengan Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick, dan Wakil Dagang AS, Jamieson Greer, adalah langkah ke arah yang betul. Kami akan terus mengekalkan momentum ini dengan tindakan susulan segera terhadap isu-isu utama yang dibincangkan dalam tempoh 90 hari ini. 

“Malaysia juga menegaskan bahawa semua saluran komunikasi kekal terbuka, dan kami akan terus berusaha ke arah penyelesaian yang baik bagi isu tarif timbal balik ini,” kata Tengku Zafrul dalam satu kenyataan hari ini.

Selain isu tarif, pertemuan tersebut turut menyentuh mengenai potensi kerjasama yang lebih erat antara AS dan ASEAN, terutamanya memandangkan Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada tahun ini. Ini dilihat sebagai peluang yang tepat pada masanya untuk memajukan matlamat bersama dan kestabilan di rantau ini.

Usaha proaktif Malaysia dalam mengemukakan empat bidang rundingan utama ini diharap dapat membuka jalan kepada perbincangan yang lebih mendalam dan membawa kepada penyelesaian yang adil dan saling menguntungkan bagi kedua-dua negara dalam isu tarif timbal balik ini.-BH Online