KUALA LUMPUR: Di sebalik jadual padat lawatan kerja ke Turkiye dan United Kingdom (UK), rombongan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof melalui detik cemas ketika berada di Istanbul, saat gempa bumi melanda dengan kekuatan 6.2 magnitud, semalam.
Dalam kenyataan menerusi laman Facebook, Fadillah berkata, ketika gempa bumi kuat menggegarkan Istanbul, beliau dan rombongan berada di Lapangan Terbang Istanbul untuk penerbangan ke London bagi meneruskan lawatan kerja di UK.
Sebagai langkah berjaga-jaga, beliau dan rombongan diarahkan keluar dari bangunan Terminal VIP.
“Gegaran pertama agak kuat dan selepas kira-kira 15 minit, kami diminta masuk semula ke dalam bangunan. Namun, berlaku gegaran kedua yang tidak begitu kuat sejurus kemudian dan kami diminta keluar bangunan sekali lagi untuk kira-kira 10 minit sebelum dibenarkan masuk semula,” katanya yang turut berkongsi gambar kejadian itu.
Bagaimanapun, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air bersyukur kerana beliau dan rombongan selamat tiba di London pada jam 4 petang waktu tempatan, yang juga sambungan kepada lawatan kerja rasmi selama tiga hari di Turkiye.
Timbalan Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang bertanya khabar dan mendoakan keselamatan mereka sebaik berita mengenai gempa bumi yang berlaku pada jam 12.49 tengah hari waktu tempatan di Laut Marmara berhampiran Daerah Silivri, Istanbul itu tersebar.
Fadillah mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak mengenai Masa Depan Keselamatan Tenaga yang diadakan hari ini dan esok di London anjuran Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dan kerajaan UK selepas mengakhiri lawatan kerja rasmi di Turkiye. – BERNAMA