PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mengulangi bahawa kerajaan sudah meluluskan RM1 bilion sebagai insentif melaksanakan program merancakkan produktiviti pengeluaran padi di Kedah.
Perdana Menteri berkata, peruntukan itu disalurkan secara berterusan.
“(Kita sudah berikan) RM1 bilion… RM1 bilion on going (berterusan),” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri 2025 Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Kedah akan terus berusaha menuntut bayaran RM200 juta setahun daripada Kerajaan Persekutuan sebagai insentif khas atas pengorbanan negeri itu mengekalkan kawasan jelapang padi bagi menjamin bekalan beras negara.
Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, pihaknya juga menolak cadangan dibuat Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Malaysia (PlanMalaysia) iaitu bayaran sebanyak RM41 juta setahun kepada Kedah melalui Pelan Induk Perancangan Guna Tanah Kawasan Sumber Makanan Negara (KAGUMN).
Februari lalu, Perdana Menteri dilaporkan berkata peruntukan RM1 bilion diluluskan kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sebagai insentif melaksanakan program merancakkan produktiviti pengeluaran padi di negeri Kedah.
“Usaha kita untuk meningkatkan produktiviti. Kita telah luluskan RM1 bilion untuk MADA ini yang kita akan luncurkan (program berkenaan pada) akhir bulan ini Insya-Allah.
“Ia supaya kawasan sawah yang ada penambahan RM1 bilion itu boleh menjamin penambahan produktiviti.
“Sekurang-kurangnya usaha itu dapat memenuhi daripada sekitar 56 peratus keperluan tempatan sekarang kepada 70 peratus,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat.-BH Online