KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengoperasikan Hospital Medan Malaysia (HMM) secara rasmi hari ini dalam Operasi Bantuan Kemanusiaan (Op Starlight III) di daerah Sagaing, Myanmar.
Markas ATM berkata, hospital berkenaan mula beroperasi jam 8.20 pagi waktu Myanmar (9.50 pagi waktu Malaysia) di daerah berkenaan yang juga antara kawasan paling terjejas akibat gempa bumi.
“HMM yang diuruskan Tim Op Starlight III adalah HMM Tahap Dua dengan kapasiti 20 katil, turut dilengkapi dengan kemudahan seperti wad, bilik pembedahan, unit rawatan rapi, radiologi, makmal dan menawarkan dua kepakaran iaitu pembedahan am dan ortopedik.
“HMM Tahap Dua berkeupayaan melaksanakan pelbagai bentuk rawatan kritikal termasuk prosedur pembedahan dan penjagaan pesakit secara menyeluruh.
“Antara keupayaan HMM Tahap Dua, termasuk pelaksanaan dua pembedahan secara serentak pada satu-satu masa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Markas Angkatan Tentera Malaysia berkata selain itu, HMM Tahap Dua Op Starlight III turut menyediakan perkhidmatan klinik pesakit luar di mana perkhidmatan ini dijangka menerima sekitar 80 ke 100 pesakit luar dari kalangan penduduk sekitar.
Katanya, perkhidmatan ini turut dibantu oleh tiga pegawai perubatan dari Hospital Sagaing.
“Ketua Menteri Wilayah Sagaing, Myint Naing dan Panglima Biro Operasi Khas bagi Wilayah Yangon, Leftenan Jeneral Thet Pon, turut hadir selepas pembukaan operasi HMM bagi menyatakan dukungan serta meninjau keperluan tambahan Tim Op Staight III,” katanya.
Pada 19 April lalu, Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing melawat persiapan pengoperasian HMM sebagai bukti pengiktirafan dan komitmen kerajaan Myanmar terhadap usaha Malaysia.
Sejak pembukaannya secara rasmi, HMM menerima aliran pesakit tanpa henti dari kawasan sekitar dan beberapa daripadanya dirujuk oleh Hospital Sagaing.
Tim Op Starlight III berjaya melaksanakan pembedahan pertama pada jam 10.30 pagi waktu Myanmar (12.00 tengah hari waktu Malaysia).
Penduduk tempatan yang hadir turut menyatakan penghargaan mereka terhadap usaha Malaysia menubuhkan HMM kerana ia memberi makna besar kepada mereka terjejas akibat bencana gempa bumi.-BH Online