Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JAKARTA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membincangkan hal ehwal halal, tenaga kerja, nelayan, isu serantau dan Palestin semasa pertemuannya dengan Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka, di sini hari ini.

Pertemuan produktif Ahmad Zahid dengan Gibran di Istana Wakil Presiden, Jakarta Pusat selama 45 minit itu diiringi Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dan Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin.

Berkenaan hal ehwal halal, kedua-dua pemimpin berbincang mengenai peluang kerjasama dalam sektor halal yang bernilai AS$1.3 trilion serta cabaran yang boleh ditangani bersama seperti penggunaan sijil halal keluaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Ulama Indonesia.

“Kita akan berkoordinasi dan mengadakan perbincangan terperinci bukan hanya dalam aspek pengeluaran produk halal, tetapi juga dari segi permasaran,” katanya di sidang media selepas pertemuan itu.

Kedua-dua negara juga sepakat memperbaiki penyaluran pekerja dari Indonesia ke Malaysia melalui ‘One Channel System’ dan pengurusan nelayan yang menceroboh sempadan perairan melalui memorandum persefahaman yang dimeterai pada 2012.

Perbincangan menyentuh kerjasama kedua-kedua negara mengenai isu serantau termasuk tarif Amerika Syarikat dan penerokaan pasaran baharu minyak sawit mentah (CPO) dari negara-negara pengeluar utama iaitu Indonesia, Malaysia dan Thailand.

Ahmad Zahid dan Gibran yang prihatin terhadap nasib rakyat Palestin juga percaya penyelesaian jangka panjang perlu diusahakan secara konsisten termasuk pembangunan semula Gaza dalam aspek pendidikan, kesihatan, infrastruktur selain kepentingan genjatan senjata kekal serta senada menyuarakannya di forum antarabangsa.

Ditanya mengenai status jambatan antara Melaka dan Dumai di Riau, Ahmad Zahid berkata kajian kebolehlaksanaan projek itu perlu dilakukan terlebih dahulu, termasuk pulangan pelaburan serta potensinya merancakkan sektor perdagangan, pelancongan dan mobiliti antara Malaysia dan Indonesia, khususnya di sepanjang Selat Melaka.

“Aspek teknikal, ekonomi, sosial dan alam sekitar perlu dititikberatkan sebelum keputusan seterusnya dibuat berhubung pembinaan jambatan tersebut,” jelasnya.

Perkara lain yang turut dibincangkan termasuk peluang kerjasama dalam sektor francais di ASEAN melibatkan usahawan muda di kedua-dua negara dan penekanan kepada inisiatif memperkasa belia melalui program pertukaran pelajar, keusahawanan sosial, dan inovasi.

Ahmad Zahid kini dalam rangka lawatan rasmi ke Indonesia selama tiga hari berakhir esok. -BERNAMA