Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Presiden China, Xi Jinping menyatakan harapan agar, dengan usaha bersama China dan Malaysia, lawatan negaranya ke Malaysia akan membuahkan hasil yang memberangsangkan serta membawa kepada permulaan era “50 Tahun Emas” baharu dalam hubungan dua hala, lapor Xinhua.

Dalam kenyataan bertulis sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Xi berkata beliau berharap lawatan ini akan membuka lembaran baharu dalam sejarah hubungan bertemakan kejiranan mesra dan saling menguntungkan antara kedua-dua negara.

Xi tiba di Malaysia hari ini untuk mengadakan lawatan negara selama tiga hari atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Lawatan kali ini menandakan kunjungan rasmi kedua Xi ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas kunjungan terakhir pada 2013.

Pesawat khas yang membawa presiden mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 6.30 petang.

Turut hadir menyambut ketibaan dan delegasinya ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.

Sejurus tiba, Xi memeriksa kawalan kehormatan terdiri 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) yang diketuai oleh Leftenan Mohamad Nafis Norshid.-BH Online