Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan dialog terbuka diadakan secara berterusan bagi memupuk persefahaman dan perasaan saling menghormati antara masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Perdana Menteri berkata, usaha sedemikian mesti terus digerakkan dan tidak wajar dianggap sebagai gimik politik oleh mana-mana pihak.

“(Dialog berterusan antara kaum) ini bukan gimik politik tapi percayalah cakap saya, kita mesti lakukan perkara yang betul sebab semua kaum mahukan keadilan.

“Penting bagi negara pelbagai kaum seperti Malaysia untuk membina survival dan keselamatannya, menolak politik yang sering memainkan isu agama dan kaum, belajar dari apa yang berlaku di Eropah.

“Ini adalah cabaran semua. Cabaran kepada guru dan pensyarah. Universiti harus mempromosikan apa yang betul dan apa yang dapat menjamin keamanan untuk negara,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam ucapan merasmikan Persidangan Antarabangsa Dialog Peradaban (ICONCIDI’25) yang dianjurkan oleh Universiti Malaya (UM) bersempena sambutan 30 tahun Dialog Peradaban di Dewan Tunku Canselor UM di sini, semalam,

Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar; Profesor Penyandang Kursi Teori Politik,

Fakulti Undang-Undang Universiti Hong Kong, Profesor Dr Daniel Bell dan Naib Canselor UM, Prof Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman.

Anwar berkata, Malaysia dihuni pelbagai kaum, namun kefahaman terhadap kaum lain masih rendah dan wajar dipertingkat. 

“Kita hidup di Malaysia dalam pelbagai kaum. Walaupun Islam agama Persekutuan, berapa ramai orang Islam faham agama Persekutuan.

“Kita puasa, ada masjid tapi hampir tak tahu Islam, sejarah dan peradabannya.

“Apa yang kita tahu sekadar mendapat asakan daripada media, apa lagi media dikuasai barat yang ada sejarah tersendiri. 

“Penyanggahan paling keras terhadap pemikiran dominan yang anggap barat ‘superior’ tak salah, tapi (yang salah) menghina orang lain, Islam, negara Arab, China dan India, meremeh dan merendahkan,” katanya. -BH Online