Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Rumah Terbuka Lebaran Kasih Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di kediaman rasminya di Sri Satria, Presint 16, di sini, hari ini. 

Perdana Menteri yang ditemani isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Sri Satria jam 7.57 malam dengan disambut Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis.

Majlis itu dihadiri lebih 20,000 pengunjung dengan tinjauan BH mendapati orang ramai mula memenuhi ruang legar Sri Satria seawal jam 7 malam.

Antara dilihat turut hadir termasuk Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Pengerusi MARA yang juga Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beberapa duta asing turut dilihat hadir memeriahkan majlis.

Selain pelbagai juadah tradisional disajikan kepada pengunjung termasuk lemang, sate, soto ayam dan cendol, pertunjukan bunga api turut memeriahkan majlis rumah terbuka ini. 

Ketika majlis, Ahmad Zahid yang memakai baju emas terang bersama isteri turut meluangkan masa beramah mesra bersama pengunjung yang hadir.

Seramai 25 kanak-kanak dari Pusat Jagaan Anak-Anak Insan Al Rahmat Hikmah menerima sumbangan duit raya. 

Acara berlangsung dari jam 8 hingga 11 malam ini bertujuan mengukuhkan semangat ukhuwah dan kasih sayang sesama insan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Majlis turut dimeriahkan kehadiran artis seperti Datuk Jamal Abdillah, Hael Husaini, Nadeera Azmi, Wany Hasrita, Ara Johari dan beberapa lagi.-BH Online