BACHOK: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia kerap menjadi rujukan pemimpin dunia dan negara Asia berikutan kestabilannya dalam pelbagai perkara.
Perdana Menteri berkata, antara pemimpin dunia dan Asia yang menghubunginya termasuk Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron.
“Mereka menghubungi saya bukan sebab Perdana Menteri, tetapi kerana kerajaan negara kita yang stabil.
“Pada masa sama, dasar ekonomi kita mampu menarik pelaburan dan tenang menghadapi keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mengenakan tarif (timbal balik) yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia MADANI peringkat Kelantan di Pantai Irama, di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad; Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan serta barisan EXCO kerajaan negeri.
Anwar berkata, dasar Trump itu semestinya membimbangkan kerana boleh menyebabkan ekonomi terjejas.
“Kita hubungi semua pemimpin negara ASEAN dan nasib baik Trump tangguh (peningkatan tarif) kepada banyak negara termasuk ASEAN dan Malaysia.
“Bagaimanapun, Trump kenakan tarif terlalu tinggi kepada China,” katanya.
Pentadbiran Trump menangguhkan kadar tarif baharu ke atas import daripada kebanyakan rakan dagang AS kepada 10 peratus selama 90 hari untuk membenarkan rundingan perdagangan dengan rakan dagangnya.
Presiden AS mengumumkan penangguhan itu beberapa jam selepas barangan dari hampir 90 negara dikenakan tarif timbal balas yang lebih ketat oleh AS.
Bagaimanapun, di sebalik perkembangan terbaharu itu, Trump mengenakan lebih banyak cukai ke atas China dalam apa yang kini menjadi konfrontasi berskala penuh antara dua ekonomi terbesar dunia terbabit.
AS menaikkan tarif yang dikenakan ke atas import dari China kepada 125 peratus berkuat kuasa serta-merta.-BH Online