Subang Jaya: Laporan penuh berhubung siasatan insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights di sini, dijangka dibentangkan pada pertengahan Mei ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, rumusan laporan insiden itu akan dikeluarkan bergantung kepada faktor cuaca dan keselamatan kawasan insiden.
“Sebelum ini, pihak polis jangkakan siasatan teknikal dalam dua minggu tetapi saya lihat ada sedikit kekangan akibat cuaca dan keadaan tanah masih tidak stabil.
“Jadi kita serahkan kepada pihak polis dan pasukan siasatan untuk menjalankan siasatan.
“Saya dimaklumkan jentera serta pasukan berkaitan bersedia menjalankan kerja 24 jam dan kerja-kerja penggalian bagi mengenal pasti bukti kejadian di kawasan itu,” katanya pada sidang media di pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Putra Heights di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, siasatan teknikal masih di peringkat awal dan hanya dijalankan melalui laporan atas kertas serta dashboard (papan pemuka) kerana keadaan tapak insiden masih belum stabil untuk siasatan fizikal di lapangan.
“Pasukan teknikal menjangkakan kemungkinan pertengahan Mei baru kita boleh dapat satu gambaran jelas termasuk bukti konkrit mengenai punca sebenar letupan.
“Tapak itu masih tidak stabil dan mereka tidak boleh meneruskan kerja-kerja siasatan sepenuhnya di lapangan atas faktor risiko keselamatan,” katanya.
Katanya, siasatan turut membabitkan agensi berkaitan termasuk Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Kerja Raya (JKR) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Petronas bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan mengesahkan sama ada terdapat unsur jenayah dalam insiden itu.-MyMetro Online