UNDILAH CALON KERAJAAN PERPADUAN #PRKKUALAKUBUBHARU
Support Palestine

Support Palestine

Join us in showing solidarity with Palestine

#WeStandWithPalestineGet This Badge

Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SUBANG JAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) menyumbang 55 unit motosikal jenama Yamaha Ego Avantis 125 kepada penduduk yang terjejas dalam insiden letupan saluran paip gas di Kampung Kuala Sungai Baru, di sini.

Menterinya, Anthony Loke, berkata sumbangan itu ditaja oleh syarikat korporat Spanco bertujuan memudahkan urusan harian mangsa terbabit, khususnya dalam aspek mobiliti harian yang amat terjejas akibat kejadian berkenaan.

“Sudah hampir seminggu insiden ini berlaku dan selain kemusnahan rumah serta kereta, motosikal turut musnah dalam kebakaran.

“Ramai penduduk di sini bergantung sepenuhnya kepada motosikal sebagai kenderaan utama mereka,” katanya pada media selepas majlis penyerahan motosikal di LRT Putra Heights, di sini, hari ini.

Loke berkata, pihak kementerian mengambil inisiatif mencari penaja bagi membantu mangsa dan hasilnya, pihak Spanco tampil menaja semua motosikal berkenaan yang dibeli daripada pembekal motosikal terkemuka tempatan.

“Harga pasaran motosikal berkenaan mencecah kira-kira RM6,000 seunit, namun ia diperoleh pada harga RM5,000 seunit. 

“Kos itu ditanggung sepenuhnya oleh Spanco, termasuk perlindungan insurans selama setahun bagi setiap motosikal,” katanya.

Beliau berkata, motosikal terbabit turut didaftarkan terus di kaunter bergerak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dibuka khas di lokasi penyerahan.

“Penerima menerima sijil pemilikan kenderaan serta cukai jalan yang sudah dibayar oleh pihak penaja.

“Motosikal ini didaftarkan dengan nombor pendaftaran khas ‘MADANI’ mengikut spesifikasi yang ditetapkan JPJ dan JPJ turut menyumbangkan topi keledar percuma kepada semua penerima hari ini,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu adalah antara bentuk kerjasama erat antara kerajaan dan pihak swasta dalam usaha membantu rakyat yang ditimpa musibah.

“Kita harap dengan bantuan itu, kehidupan mangsa dapat kembali pulih dalam kadar segera,” katanya.-BH Online