Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberi jaminan, akan menunaikan sekecil-kecil bantuan yang dimohon setiap individu yang menjadi mangsa tragedi letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights, baru-baru ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, mengakui hasil temu bual ketika sesi kaunseling dijalankan kaunselor JKM, ramai mangsa yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) memerlukan bantuan yang berbeza dan berbentuk peribadi,

Beliau berkata, antara barangan yang perlu disegerakan untuk dihulurkan kepada mangsa adalah minyak angin, telefon bimbit, penapis udara dan keperluan wanita bagi ibu yang mempunyai bayi.

Malah beliau berkata, sokongan kewangan juga perlu diberikan kepada beberapa mangsa bagi memudahkan pergerakan untuk ke sana sini.

“Dalam sesi kaunseling yang berlangsung kepada 353 orang, kita mengetahui apa yang diperlukan setiap daripada mereka dan dari situ kita mendapati keperluan mereka bukan bersifat menyeluruh tetapi secara individu.

“Ada yang terdesak memerlukan telefon dan ada yang memerlukan penapis udara kerana mempunyai anak autisme. Malah ada ibu yang memerlukan ‘nursing bra’ kerana masih mempunyai anak kecil.

“Kaunselor kita juga mendapati ada setengah mangsa hanya memerlukan minyak angin sahaja kerana pening berada di PPS. Ini semua kita akan santuni segera kerana ia adalah keperluan masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di PPS Masjid Putra Heights, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nancy juga berkata, JKM juga akan memberi bantuan berbentuk tunai khusus untuk mangsa yang memerlukan bantuan dalam pengurusan diri dan ahli keluarga.

“Contohnya, ada seorang mangsa yang mempunyai keseluruhan keluarga dirawat di hospital dan dia perlu berulang-alik ke hospital. Pastinya dia memerlukan wang untuk menggunakan Grab dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, setiap mangsa tragedi itu akan disantuni dengan sebaik-baiknya bukan sekadar atas rasa simpati tetapi empati yang tinggi.

Malah beliau berkata, JKM akan menjadi pihak yang mengadakan koordinasi dengan agensi-agensi kerajaan lain untuk menunaikan permintaan dan keperluan mereka.

“Pastinya ada permintaan yang perlu diuruskan oleh agensi lain dan JKM bertanggungjawab untuk melakukan koordinasi antara mangsa dan pihak berkenaan. Kita akan santuni semua mangsa secara peribadi,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan khemah yang sempit dan permintaan untuk mempercepatkan pemindahan, Nancy berkata, semua mangsa tidak mahu untuk berada di PPS jika diberi pilihan, tetapi ruang di situ disediakan sebaiknya untuk mereka.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Yayasan Kebajikan Negara sudah mengumpul sejumlah RM29,533 untuk disumbangkan dalam tragedi itu.-BH Online