SHAH ALAM: Pemilik rumah yang musnah sepenuhnya dalam tragedi letupan paip gas di Putra Heights pada Sabtu lalu akan menerima bantuan tunai RM10,000.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, selain RM5,000 sumbangan Petronas yang dikawal selia sepenuhnya kerajaan negeri, baki RM5,000 lagi bantuan untuk rumah yang musnah sepenuhnya disumbangkan Kerajaan Persekutuan.
“Ini bermakna pemilik rumah yang musnah sepenuhnya akan menerima RM10,000.
“Bagi rumah yang terkesan dan juga penyewa pula, mereka akan menerima RM2,500 dari Petronas dan RM2,500 dari kerajaan Persekutuan… jadi mereka akan dapat RM5,000,” katanya ketika sidang media di Wisma Dewan Annexe di sini hari ini.
Amirudin berkata hari ini sesi pertama penyampaian bantuan akan dilaksanakan pihak kerajaan negeri membabitkan 219 pemilik yang sudah disahkan.
“Pihak jawatankuasa bencana akan memanggil secara individu semua yang dikenal pasti itu, manakala selebihnya akan disusuli hari seterusnya.
“Dianggarkan (penyampaian bantuan akan dilakukan sehingga Jumaat) selepas mendapat pengesahan laporan kehadiran mereka di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan mereka yang benar-benar terkesan untuk menerima sumbangan Kerajaan Persekutuan dan Petronas,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Bomba dn Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor sudah melakukan pemeriksaan dan siasatan terhadap 437 rumah dikenal pasti sebagai angka muktamad oleh pasukan teknikal.
“Kita letakkan rumah-rumah ini dalam tiga kategori iaitu musnah sepenuhnya dengan kebakaran struktur melebihi 40 peratus, separa musnah kebakaran struktur kurang 40 peratus dan terkesan tetapi tidak terbakar.
“Maknanya dari keseluruhan itu, bagi kategori pertama sebanyak 81 rumah disahkan musnah sepenuhnya, 81 ditakrifkan separa musnah dan 57 lagi terbakar tetapi tidak mengalami kebakaran kepada struktur. Baki 218 rumah diperiksa tidak terjejas.
“Kita juga sudah membesarkan kawasan terkesan dari hari pertama adalah 290 meter persegi atau radius. Kali ini kira-kira 325 meter persegi pemeriksaan dilakukan.
“Sehingga hari ini, 151 rumah disahkan selamat dan pemilik rumah ini dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing… mungkin ada kerosakan kecil harus ditanggung, perlu dilaksanakan pembaikan.
“Mesyuarat hari ini juga memuktamadkan senarai mangsa dan sehingga jam 6 petang semalam 613 isi rumah didaftarkan dengan PPS daripada keseluruhan 437 rumah termasuk yang disewakan bilik,” katanya.-BH Online