Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Nibong Tebal: Kerajaan Pulau Pinang mengambil tindakan segera terhadap aktiviti pencerobohan loji janakuasa asli di negeri ini kerana tidak bertolak ansur dengan perbuatan mengancam keselamatan awam.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, negeri itu pernah berdepan dengan situasi pencerobohan berdekatan loji janakuasa gas asli di Perai, dua tahun lalu apabila ada pihak mahu membina rumah ibadat di situ.

Menurutnya, pencerobohan itu berjaya dihentikan dengan penguatkuasaan dijalankan pihak berkuasa tempatan (PBT) sekali gus pemeriksaan berkala dilakukan bagi mengelak ia berulang.

“Dua tahun lalu, kita pernah menguruskan satu kes pencerobohan dan pembinaan tempat ibadat atas saluran paip.

“Kita mengambil penguatkuasaan yang tegas sebab ini adalah isu keselamatan yang tidak ada tolak ansur seperti dibuktikan dengan insiden di Putra Heights yang membawa impak yang begitu besar.

“Rentetan insiden itu, saya mahu penguatkuasaan terhadap sebarang pencerobohan perlu dipertingkatkan lagi bagi mengelak tragedi yang tidak diingini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya langkah yang akan diambil Kerajaan Pulau Pinang susulan insiden letupan saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor pada Selasa lalu.

Terdahulu, Kon Yeow hadir di Majlis Rumah Terbuka Kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi di Changkat, di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya memandang serius terhadap insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights kerana Pulau Pinang juga mempunyai saluran gas yang terletak di kawasan Seberang Perai.

Media sebelum ini melaporkan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan mengadakan perbincangan bersama pihak berkepentingan termasuk Gas Malaysia Berhad (Gas Malaysia) dan Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi meneliti keperluan penyediaan satu garis panduan lebih jelas berkaitan pemeriksaan paip gas di kawasan Seberang Perai.-MyMetro Online