Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GEORGETOWN: Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Cabang Nibong Tebal pada pemilihan peringkat Cabang, Wanita Cabang dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang, bulan ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, keputusan itu dibuat berikutan rasa terhutang budi dan khidmat terhadap anggota parti, pasukan Pakatan Harapan (PH) serta rakyat Nibong Tebal yang bekerja keras selama ini hingga membolehkannya dihantar ke Parlimen.

“Saya dan rakan mempertaruhkan seluruh jiwa, tenaga dan pasukan kami dengan kekuatan kemajmukan serta semangat keluarga besar PKR. 

“Kita harus merangkul setiap kekuatan yang ada, menerajui iltizam memperkukuh parti dalam kepelbagaian menerusi bingkai kesatuan,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook rasmi, malam tadi.

Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan bertekad memimpin dan menavigasi cabang PKR yang menghimpun kekuatan anggota parti yang komited sepanjang ditubuhkan, justeru beliau memohon mandat anggota Cabang Nibong Tebal memberi peluang kepadanya memimpin cabang itu sebagai calon ketua cabang yang baharu.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada mantan Ketua Cabang Nibong Tebal, Datuk Dr Amar Pritpal Abdullah, yang bersama-samanya membuat keputusan terbabit dan memaklumkan individu itu kekal dipilih sebagai calon Timbalan Ketua Cabang Nibong Tebal.

“Saya turut menghargai anggota parti Cabang Nibong Tebal yang bersama mendukung agenda memperkukuhkan parti, otai reformis dan juga sayap wanita cabang yang selama ini memberi kekuatan hingga membolehkan saya berada pada kedudukan hari ini,” katanya.

Pada 26 Januari lalu, Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh berkata, pemilihan bagi jawatan di peringkat Cabang, Wanita Cabang dan AMK Cabang ditetapkan pada 11 hingga 20 April ini.

Pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) parti bagi sesi 2025-2028 pula dilaksanakan pada 24 Mei depan.

Fadhlina sebelum ini turut memaklumkan mempertahankan jawatan disandangnya ketika ini dalam pemilihan parti akan datang. – BERNAMA