KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor serta agensi terbabit perlu memberi bantuan sewajarnya kepada mangsa yang dipindahkan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri turut mendoakan urusan semua petugas di lokasi kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights termasuk agensi penyelamat dipermudahkan.
“Saya meminta kerajaan negeri serta agensi terlibat beri bantuan sewajarnya kepada mangsa yang dipindahkan,” katanya dalam kenyataan ringkas di Facebook beliau hari ini bagi mengulas insiden itu.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd Zaini Abu Hassan, memaklumkan setakat ini, seramai 112 mangsa dan 49 rumah terjejas dalam insiden itu.
Beliau berkata kesemua 112 mangsa yang cedera itu membabitkan penduduk Taman Harmoni dan Kampung Kuala Kuala Sungai Baharu.
“Daripada 112 mangsa itu, 63 orang dihantar ke Hospital Cyberjaya, Serdang dan Putrajaya untuk menerima rawatan lanjut akibat melecur dan masalah pernafasan serta luka.
“Bakinya iaitu 49 mangsa menerima rawatan awal di Kuil Sri Maha Kaliamman, Subang Jaya,” katanya pada sidang media di Pusat Operasi Khas JBPM dan PDRM di sini.
Unit Pengurusan Bencana Daerah mengaktifkan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Putra Heights susulan kebakaran saluran paip gas PETRONAS.
Dua rumah ibadah iaitu Masjid Al-Falah USJ 9 serta Kuil Sri Maha Kaliaman di Subang Jaya turut dibuka bagi menempatkan mangsa terjejas terutama bagi menerima rawatan awal.-BH Online