Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima panggilan telefon daripada Presiden Iran, Dr Masoud Pezeshkian, hari ini.

Perbincangan mereka antara lain menyentuh mengenai usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dan Iran selain bertukar ucapan sempena sambutan Aidilfitri.

“Kami menzahirkan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan persahabatan kedua-dua negara, terutama dengan mempertingkatkan pelaburan dan perdagangan, selain memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang yang berpotensi.

“Alhamdulillah, kunjungan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan ke Tehran pada bulan lepas membawa perkembangan positif dalam hubungan serta kerjasama dua hala Malaysia dan Iran,” katanya.

Justeru, Perdana Menteri berkata beliau akan memastikan kesinambungan kunjungan berkenaan dengan menyegerakan dan mempermudahkan segala usaha untuk mengembangkan kerjasama dalam bidang pelaburan, perdagangan, pendidikan, penyelidikan dan bidang lain yang berkaitan.

Menurut Anwar, dalam perbualan bersama Pezeshkian itu, beliau turut mengulangi penghargaan Malaysia terhadap pendirian teguh dan konsisten Iran dalam memperjuangkan hak serta keadilan buat rakyat Palestin, selain menentang kezaliman Israel.

“Kami percaya solidariti dan kesatuan dalam kalangan negara Islam serta warga dunia amat penting dalam usaha memastikan keadilan dan keamanan berpanjangan di bumi Gaza,” katanya.– BERNAMA