Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Malaysia dan ASEAN akan terus mendukung usaha bantuan kemanusiaan yang giat dijalankan susulan gempa bumi di Myanmar, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia komited untuk berdiri bersama rakyat Myanmar dalam menghadapi saat sukar itu.

“Semalam saya menghubungi Jeneral Kanan Min Aung Hlaing untuk menyampaikan ucapan takziah bagi pihak Malaysia susulan bencana gempa bumi di Myanmar. 

“Malaysia dan ASEAN akan terus mendukung usaha bantuan kemanusiaan yang sedang giat dijalankan, termasuk menerusi Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang tdiatur gerak ke Myanmar pada awal hari ini (semalam) bagi menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan paling terkesan,” katanya menerusi perkongsian di Facebook hari ini.

Anwar berkata, dalam perbualan telefon itu juga, beliau memaklumkan Jeneral Kanan Min Aung Hlain mengenai Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN yang dianjurkan oleh Malaysia bagi menggerakkan sokongan ASEAN kepada Myanmar.

Dalam perkongsian sama, Perdana Menteri berkata, beliau turut menghubungi Perdana Menteri, Thailand Paetongtarn Shinawatra, bagi merakamkan rasa dukacita dan simpati yang terdalam atas bencana gempa bumi yang melanda negara berkenaan. 

“Pada kesempatan sama, saya turut membangkitkan beberapa perkara terkait kedua-dua negara, termasuk tekad berterusan ASEAN dalam memudah cara dan membantu Myanmar mencari jalan penyelesaian damai terhadap krisis di negara itu.

“Insya-Allah, perbualan kami pada hari ini akan disusuli dengan perbincangan yang lebih lanjut semasa lawatan kerja saya ke Bangkok pada 17 April 2025 atas jemputan Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra,” katanya.-BH Online