Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Lumpur: Kehadiran penjaja tanpa lesen yang menjalankan perniagaan di laluan pejalan kaki menghalang pergerakan orang ramai dan menyebabkan kesesakan terutama ketika musim persiapan Aidilfitri.

Itu penjelasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung tindakan penguatkuasanya terhadap penjaja belon tanpa lesen di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) pada malam tadi hingga mencetuskan pergaduhan.

Video kejadian dan insiden perbalahan membabitkan kumpulan peniaga dan penguatkuasa DBKL itu tular di media sosial semalam. 

Dalam kenyataannya, DBKL memaklumkan rondaan berkala dijalankan mendapati kehadiran beberapa penjaja tanpa lesen yang menjalankan perniagaan di laluan pejalan kaki.

“Seperti amalan biasa, DBKL memberi teguran terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan diambil. Penjaja tanpa lesen lain memberikan kerjasama dan beredar dari kawasan itu.

“Bagaimanapun, seorang penjaja belon enggan mematuhi arahan dan terus berniaga seperti biasa walaupun sudah diberi teguran sebanyak dua kali.

“Sehubungan itu, tindakan penguatkuasaan diambil terhadap penjaja belon tanpa lesen di kawasan Jalan TAR pada 28 Mac 2025 (Jumaat), sekitar jam 11.50 malam,” kata kenyataan itu.

Menurut DBKL, penjaja terbabit bertindak agresif ketika diberikan teguran kali ketiga sehingga berlaku sentuhan fizikal apabila dia menolak petugas penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas.

“Bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih tegang, anggota penguat kuasa berpakaian preman bertindak pantas menenangkan dan memisahkan penjaja terbabit daripada terus mengasari petugas DBKL.

“Beberapa penjaja lain cuba campur tangan, namun keadaan berjaya dikawal dan ditenangkan tidak lama kemudian. Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini,” katanya.

DBKL menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjalankan perniagaan tanpa lesen sah serta mengganggu ketenteraman awam.

Kenyataan itu turut menegaskan bahawa penguatkuasaan dilakukan tanpa mengambil kira latar belakang kaum dan berdasarkan peraturan yang ditetapkan.

“DBKL akan menjalankan siasatan lanjut serta meneliti prosedur operasi standard (SOP) tindakan penguatkuasaan bagi mengelakkan perkara tidak diingini pada masa hadapan.

“Satu laporan polis juga sudah dibuat oleh penguat kuasa yang terbabit dalam kejadian ini,” katanya.

Sehubungan itu, DBKL meminta semua pihak menghentikan hebahan sentimen serta spekulasi negatif yang boleh mengeruhkan keadaan dan menyeru supaya peraturan yang ditetapkan dipatuhi.-MyMetro Online