KUALA LUMPUR, 26 Mac – Rangkaian pengumpulan minyak masak terpakai perlu diperbanyakkan sejajar dengan usaha mengelakkan pencemaran serta mengurangkan pelepasan karbon.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata minyak masak terpakai dijangka menjadi komoditi penting sebagai bahan api lestari pada masa hadapan.
“Rangkaian ini memang sudah ada, tetapi kita mahu melihat pembinaan rangkaian yang lebih baik lagi. Kita berharap lebih banyak pusat pengumpulan dibuka supaya minyak masak terpakai dapat dikitar semula sepenuhnya,” katanya selepas menghadiri program FatHopes Bersama Ekosetiawangsa di ibu negara.
Menurutnya, usaha itu telah dimulakan di beberapa lokasi seperti kawasan perumahan, sekolah, rumah ibadat, serta bazar Ramadan.
Pada Jun tahun lalu, kerajaan telah memuktamadkan sasaran untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Dalam ucapannya sempena Persidangan Pelaburan Lestari dan Bertanggungjawab 2024, Nik Nazmi menegaskan kerjasama semua pihak, termasuk institusi kewangan, syarikat, serta rangka dasar kerajaan yang relevan, diperlukan bagi mencapai sasaran tersebut.-Berita RTM