KUANTAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang menumpaskan 18 kes jenayah dengan nilai rampasan hampir RM650,000, menerusi Op Khas Pagar Laut dalam tempoh lima tahun pelaksanaannya setakat tahun lalu.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kebanyakan kes yang dibanteras membabitkan pencerobohan bot nelayan Vietnam, kemasukan pendatang tanpa izin dan aktiviti penyeludupan.
“Saya dimaklumkan menjelang Aidilfitri ini, Op Khas Pagar Laut diteruskan bagi membanteras jenayah rentas sempadan dan pencerobohan di perairan Pahang.
“Operasi bermula 10 Mac hingga 18 April depan itu, melibatkan lima bot dan lima kapal serta kekuatan lebih 260 anggota, yang pada masa sama mereka bersiap siaga untuk operasi mencari dan menyelamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melakukan tinjauan Op Khas Pagar Laut di atas kapal KM Pekan di Pelabuhan Kuantan di sini semalam, sebelum turut berlayar sejauh lima batu nautika untuk berbuka puasa serta solat Maghrib secara berjemaah.
Wan Rosdy berkata operasi itu juga melibatkan empat fasa utama iaitu pengumpulan maklumat dan kesiap siagaan aset, penguatkuasaan sebelum dan selepas perayaan serta pemantauan berterusan melalui Post Exercise Debrief (PXD).
Dalam pada itu, beliau melahirkan rasa teruja kerana berpeluang menaiki dan berlayar bersama kapal KM Pekan semasa tinjauan dilakukan.
“Hari ini saya memilih bersama Maritim Malaysia Pahang dan saya dapat menaiki kapal untuk merasai pengalaman berlayar. Walaupun waktunya singkat, saya dapat merasai pengorbanan mereka dan bukan calang-calang orang boleh melakukannya,” katanya. – BERNAMA