Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Masjid MADANI yang dibangunkan di atas tanah milik Jakel di Lot 328, Jalan Munshi Abdullah di sini dijangka siap sepenuh dalam tempoh dua tahun.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel, berkata masjid yang dibina di atas tanah seluas 12,142 kaki persegi itu turut mempunyai dewan acara, selain pejabat serta kemudahan asas lain.

Menurutnya, berkonsepkan inti pati Malaysia dan setinggi empat tingkat itu, ia mampu menampung kira-kira 2,900 jemaah pada satu-satu masa termasuk 592 jemaah di ruang utama solat yang terletak tingkat satu.

“Masjid MADANI dijangka siap dalam masa 24 bulan dari tarikh pembinaan dan akan menjadi satu lagi mercu tanda pembangunan syiar Islam di Lembah Klang khususnya Kuala Lumpur,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Masjid MADANI di sini hari ini yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Mohamed Faroz berkata, pembinaan masjid berkenaan dibuat atas hasrat bapanya, Allahyarham Mohamed Jakel Ahmad dan mengambil kira keperluan masyarakat setempat.

“Masyarakat di sini menghadapi masalah kesesakan teruk di masjid berhampiran terutama sekali ketika hari Jumaat dan musim perayaan.

“Kewujudan Masjid MADANI bukan sahaja akan memberi manfaat kepada umat Islam di kawasan sekitar tetapi juga menyumbang kepada kesejahteraan keseluruhan masyarakat dengan menyediakan kemudahan tempat beribadah yang selesa dan teratur,” katanya.-BH Online