Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tempoh sebulan kepada pengurusan FELDA untuk mengemukakan pelan hala tuju baharu bagi agensi berkenaan.

Perdana Menteri berkata, pelan itu bertujuan mengangkat martabat FELDA serta semua agensi dan anak syarikatnya yang memerlukan lonjakan untuk berada di landasan ampuh.

Katanya, pelan berkenaan juga akan menjadi persediaan berdepan kemungkinan keadaan lebih mencabar susulan perkembangan geopolitik semasa, walaupun unjuran permintaan sawit ketika ini berada pada tahap lebih baik.

Beliau sekali gus memberi jaminan bahawa seluruh tenaga dan kekuatan Kerajaan MADANI akan dikerah bagi memastikan pelaksanaan pelan hala tuju baharu FELDA, sekali gus melonjakkan permintaan sawit negara.

“FELDA kini berada pada tahap di mana lonjakan amat diperlukan… satu haluan dan matlamat untuk mengangkat martabat FELDA demi menjamin masa depan lebih baik kepada peneroka serta ekonomi negara.

“Kita akan menggerakkan seluruh kekuatan serta jentera kerajaan, termasuk Kementerian Kewangan, dan pakar lain bagi memastikan kita berpuas hati dengan hala tuju baharu, untuk memberi keyakinan kepada ratusan ribu peneroka dalam masa singkat,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri di Menara FELDA, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan; dan Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Anwar menegaskan, FELDA tidak boleh berada dalam ruang selesa walaupun sudah mencapai peningkatan permintaan bagi produk berasaskan sawit dalam pasaran global.

Selain itu, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, FELDA tidak boleh terus kekal dalam bentuk dan hala tuju sedia ada, selain bergantung pada suntikan dana hampir RM1 bilion setahun yang diberikan kerajaan.

“Memang tugas kerajaan mencari jalan menambah permintaan (bagi produk berasaskan sawit) dan Alhamdulillah setakat ini, kita sudah capai. Namun, kita tidak boleh hidup dalam ruang selesa.

“Menerusi unjuran keadaan sekarang, dalam keadaan lebih baik… mudah-mudahan (permintaan) lebih tinggi tetapi keadaan geopolitik tidak menentu.

“Justeru, ini mengingatkan kita supaya lebih berwaspada untuk menjangka kemungkinan keadaan lebih mencabar,” katanya.-BH Online