Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Lumpur: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata isu berkaitan cip kecerdasan buatan (AI) Nvidia dalam pelayan yang dikaitkan dengan kes penipuan yang didakwa membabitkan Malaysia masih dalam siasatan.

Menteri berkenaan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pihak kementerian memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pasukan penyiasat untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan tersebut.

“Kita memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pasukan penyiasatan yang terdiri daripada MITI bersama-sama dengan agensi berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya kepada pemberita di luar acara Program Iftar Kasih Ukhwah hari ini.

Beliau berkata segala perkembangan terkini berhubung kes tersebut akan dimaklumkan kepada media.

Pada 3 Mac, MITI menerusi satu kenyataan memaklumkan sedang menyiasat dakwaan cip AI Nvidia dalam pelayan yang dikaitkan dengan kes penipuan dialihkan dari Singapura ke Malaysia.

Langkah itu diambil susulan laporan media yang memetik Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura K Shanmugam sebagai berkata pelayan yang dikaitkan dengan kes penipuan di negara itu mungkin mengandungi cip AI Nvidia, yang kemudiannya dipindahkan ke Malaysia.

Dilaporkan cip AI Nvidia dalam pelayan yang dikaitkan dengan kes penipuan didakwa dipindahkan ke Malaysia dari Singapura.

Menurut laporan berita dari Singapura, cip tersebut didakwa dibenam dalam pelayan yang dibekalkan oleh Dell dan Supermicro kepada syarikat yang berpangkalan di Singapura sebelum dipindahkan ke Malaysia.-MyMetro Online