Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Serangan siber dan penyebaran berita tidak benar serta maklumat palsu adalah antara cabaran besar kepada kestabilan sesebuah negara.

Justeru, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan sistem keselamatan dan pertahanan negara perlu serius dan diperkukuhkan dengan sistem teknologi maklumat yang terkini bagi memastikan keselamatan dan keharmonian sentiasa terpelihara.

Katanya, ancaman seumpama ini khususnya penyebaran maklumat palsu hingga menyebabkan perpecahan antara bangsa dan agama oleh pihak tidak bertanggungjawab boleh menjejaskan keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap institusi utama termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Jika kepercayaan terhadap institusi keselamatan kita terhakis, ia dikhuatiri boleh menjejaskan dan mengganggu keharmonian antara masyarakat hingga boleh menyebabkan perpecahan.

“Suasana ini juga akan menghalang pasukan keselamatan kita melaksanakan tanggungjawab mereka dengan lebih berkesan,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa, Menteri Pertahanan bersama pengamal media di sini, hari ini.null

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar;

Ketua Pegawai Operasi (COO) Media Prima Omnia, Datuk Mohd Effendi Omar; Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan Berita & Hal Ehwal Semasa Media Prima dan Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Farrah Naz Abd Karim.

Mohamed Khaled berkata, cabaran yang dihadapi negara ini memerlukan kerjasama menyeluruh dari semua pihak khususnya media yang memainkan peranan penting sebagai medium sumber maklumat kepada orang ramai.

“Media bukan sahaja bertanggungjawab menyebarkan maklumat tetapi juga perlu memastikan berita dilaporkan secara benar dan tepat,” katanya.

Beliau berkata, peranan media meluas untuk mendidik orang ramai mengenai tanggungjawab pasukan keselamatan dan cabaran yang mereka hadapi dalam menjaga keselamatan negara.

“Usaha ini penting dalam memastikan ekosistem negara kekal terkawal dan dilindung sekaligus faktor utama mewujudkan negara yang selamat dan stabil,” katanya.

Katanya, jika orang ramai secara berterusan terdedah kepada serangan maklumat tidak benar dan mengelirukan maka ia akan menyukarkan usaha negara untuk mengekalkan keamanan, keselamatan dan kemakmuran.-BH Online