KUALA LUMPUR: Pemilik akaun Facebook, Prem Esaan yang dikesan mengeluarkan pelbagai hantaran berbaur penghinaan terhadap Islam, ditahan di Johor Bahru, Johor, hari ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata suspek ditahan oleh anggota Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, jam 2.30 petang tadi.
“Tangkapan ke atas suspek yang berusia 57 tahun berasal dari Tanjong Karang, Selangor dibuat dalam serbuan di Taman Johor Jaya, Johor Bahru.
“Menerusi tangkapan itu, pihak polis turut merampas sebuah telefon bimbit untuk siasatan,” katanya kepada media, hari ini.
BH pada Sabtu lalu, melaporkan Bukit Aman sedang menyiasat kes pemilik satu akaun Facebook didakwa membuat pelbagai hantaran berbaur penghinaan terhadap Islam melalui FB.
Razarudin dilaporkan berkata siasatan dijalankan berikutan satu laporan polis dibuat seorang pegawai kanan polis di ibu negara, pada 20 Mac lalu.
Laporan polis dibuat selepas pengadu mengesan satu hantaran yang dimuat naik dalam akaun Facebook terbabit mengandungi perkataan berbaur penghinaan terhadap agama dan umat Islam serta Nabi Muhammad SAW.
Penelitian dilakukan mendapati hantaran itu mengandungi unsur yang boleh mencetuskan kemarahan umat Islam di Malaysia dan mendatangkan kegusaran awam.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan, iaitu sebarang perlakuan yang menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan atau permusuhan, kebencian atau niat jahat atas alasan agama.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan jaringan.-BH Online