Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Masyarakat secara amnya, tidak patut menjadikan kanak-kanak sebagai bahan kandungan di laman media sosial masing-masing, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

“Perkara ini bukan sahaja untuk cikgu-cikgu, malah untuk ibu bapa dan kita semua yang perlu bertanggungjawab untuk tidak menyiarkan kanak-kanak sebagai bahan kandungan media sosial kerana ia membawa risiko kepada kanak-kanak tersebut, jadi kita tak galakkan.

“Yang penting mesejnya ialah jangan kita kongsi di media sosial dengan menggunakan anak sebagai bahan kandungan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sumbangan Ramadan dan Agihan Bubur Asyura Parlimen 193 Santubong, di Balai Bomba dan Penyelamat Tabian Jaya, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang meminta golongan pendidik supaya tidak menjadikan pelajar terutama murid sekolah rendah, sebagai bahan kandungan dalam laman media sosial bagi mengelakkan penyalahgunaan oleh individu tidak bertanggungjawab.

Nancy berkata, Malaysia masih dalam pertimbangan mengikut jejak langkah Australia dalam mewujudkan undang-undang yang melarang kanak-kanak dan remaja daripada menggunakan media sosial, seterusnya membendung penyalahgunaan bahan kandungan di media sosial melibatkan golongan itu.

“Kita belum ada undang-undang sedemikian, kerana masih difikirkan sama ada kita perlu atau tidak… sebab itu peringatan untuk larangan kanak-kanak sebagai bahan kandungan media sosial sering kali dikeluarkan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai situasi banjir di beberapa negeri, Nancy berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat sudah bersedia sekiranya terdapat keperluan untuk membeku cuti pegawainya untuk bertugas di pusat pemindahan sementara (PPS) sewaktu Hari Raya Aidilfitiri.

“Untuk banjir sehingga sekolah ditutup di Johor, kita juga bersedia sekiranya Kementerian Pendidikan memerlukan pertambahan bantuan daripada kami, tetapi setakat ini menteri (Fadhlina Sidek) cakap setakat ini semua terkawal,” katanya. – BERNAMA