Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bekalan telur ayam di Malaysia kekal mencukupi dan stabil bagi memenuhi permintaan domestik.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata kerjasama erat antara KPKM dan pengeluar telur tempatan memastikan tahap pengeluaran telur harian berada pada paras stabil dan memuaskan. 

Jaminan itu diberikan Mohamad susulan kekeliruan yang dikatakan timbul daripada beberapa laporan media mengenai kenaikan mendadak harga telur ayam di Amerika Syarikat (AS) serta dakwaan kemungkinan berlaku penyeludupan telur ayam ke luar negara.

Mohamad berkata, bagi menjamin kestabilan bekalan, KPKM sentiasa melaksanakan pemantauan ke atas rantaian pengeluaran dan pengedaran telur ayam dari peringkat ladang hingga ke pengguna akhir.

“Langkah penguatkuasaan juga terus diperkukuh dengan menjalinkan kerjasama strategik bersama agensi dan kementerian lain bagi memantau aktiviti pengeksportan bekalan makanan ke luar negara. 

“Kerajaan melalui KPKM kekal komited memastikan keterjaminan makanan negara melalui dasar dan pelan tindakan strategik yang menyeluruh, termasuk usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran tempatan dan sokongan kepada industri agromakanan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan AS berdepan masalah kekurangan bekalan telur ayam serius berikutan wabak berterusan selesema burung H5N1, menyebabkan bekalan telur ayam makin berkurangan di pasaran dan sukar diperoleh.

Terbaru, AS dilaporkan mengimport telur dari Korea Selatan dan Turkiye bagi membantu menangani kenaikan harga, manakala perbincangan sedang berlangsung untuk mendapatkan bekalan telur dari negara lain.

Mohamad berkata, kementerian akan terus memantau perkembangan semasa dan bersedia mengambil tindakan segera jika diperlukan demi memastikan kestabilan bekalan makanan negara sentiasa cukup dan terjamin.

“Rakyat dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak berasas dan sentiasa merujuk maklumat sahih melalui saluran rasmi KPKM,” katanya.-BH Online