Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: DAP Perak menubuhkan satu jawatankuasa gerak khas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning untuk membantu kempen dalam memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu. 

Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, berkata gerak kerja kempen parti itu bagaimanapun tidak hanya memfokuskan kepada bukan Melayu, sebaliknya akan menggunakan pendekatan ‘serampang pelbagai mata’, terhadap semua pengundi mengikut strategi bersesuaian.

Malah, beliau yang juga Pengerusi DAP Perak berkata, parti itu bersedia menurunkan wakil pemimpin Melayu mereka iaitu Naib Pengerusi Kebangsaan, Syahredzan Johan, Penolong Setiausaha Publisiti, Young Syefura Othman, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari bagi membantu kempen. null

“DAP akan bertungkus lumus berkempen dengan sehati, senada dan sejiwa bagi memastikan calon BN mewakili kerajaan Perpaduan menang supaya kerajaan negeri Perak kekal kukuh dan stabil.

“DAP akan fokus di mana-mana kawasan yang memerlukan kehadiran kami kerana DAP adalah parti berbilang kaum, kita ada pemimpin Melayu yang akan turun berkempen bagi memenangkan calon BN. 

“Bagi pasukan kempen DAP Perak, ia diketuai Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee dan EXCO negeri itu, A Sivanesan,” katanya pada majlis Sembang Kopi bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, di sini hari ini. 

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning, Perak pada 26 April depan. null

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, pada 22 Februari lepas akibat serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. 

Pada masa sama, Kor Ming berkata, beliau dan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu, akan hadir pada hari penamaan calon, 12 April ini bagi memberi sokongan buat calon BN. 

Walaupun sebarang keputusan pada PRK Ayer Kuning tidak akan mengubah pentadbiran negeri, namun Kor Ming menyifatkan kemenangan calon kerajaan Perpaduan adalah penting sebagai dorongan buat kerajaan melakukan lebih baik. 

Katanya, Ayer Kuning menyaksikan pecahan pengundi Melayu adalah kira-kira 55 peratus, Cina (22 peratus) dan India (15 peratus). 

Beliau berkata, melalui semangat Malaysia MADANI, pihaknya mahu soal keharmonian dan perpaduan dititikberatkan dalam PRK Ayer Kuning ini, tanpa mengira kaum. 

“Kita semua anak Malaysia MADANI yang sentiasa mementingkan perpaduan dan keharmonian sebagai teras utama kejayaan negara,” katanya. 

Kerajaan negeri Perak mempunyai 33 kerusi DUN diwakili parti membentuk kerajaan Perpaduan, manakala pembangkang mempunyai 24 kerusi.-BH Online