Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sebanyak 48 syarikat milikan India bersaiz kecil (I-BAP) menerima geran bernilai RM2.96 juta menerusi Program Business Accelerator oleh SME Corporation Malaysia (SME Corp).

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan berkata kumpulan itu adalah penerima yang membuat permohonan program itu pada 7 Oktober hingga 31 Oktober lalu.

Beliau berkata, program itu bertujuan meningkatkan keupayaan syarikat milikan India menerusi khidmat nasihat perniagaan dan sokongan kewangan dalam bentuk geran padanan sehingga RM100,000.

Bagi permohonan yang dibuka mulai 7 April depan, beliau berkata, kriteria kelayakan ditambah baik yang mana tiada lagi ketetapan bagi had minimum jumlah jualan tahunan untuk memohon I-BAP.

“Sebelum ini, hanya perniagaan dengan jualan tahunan melebihi RM300,000 setahun saja yang layak memohon. Kini syarat itu tidak lagi. 

“Ia bagi membolehkan lebih ramai perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendapat manfaat di bawah program ini.

“Bagi mempercepatkan penyaluran geran, keutamaan akan diberikan kepada projek yang sudah selesai dilaksanakan dan telah membuat pembayaran kepada pembekal bermula 1 Jun 2024,”katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra dan sesi penyerahan surat tawaran kepada penerima I-BAP, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy.

Majlis ramah mesra ini dianjurkan bersempena Hari Terbuka Hab PMKS yang dihadiri lebih 100 syarikat mikro, kecil dan sederhana termasuk 26 perusahan kecil milikan kaum India penerima I-BAP.

Sementara itu, Rizal memaklumkan, sebanyak 81 syarikat membuat permohonan pada tahun lalu.

“Malaysia kekal komited dalam memberikan sokongan kepada PMKS agar

lebih berdaya tahan.

“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), penekanan akan diberi kepada usaha meningkatkan penskalaan PMKS bagi melonjakkan sumbangan mereka kepada ekonomi negara,” katanya.-BH Online