Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BANDAR BAHARU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 20,000 pelbagai jenis bahan terbitan yang dianggarkan bernilai RM1.2 juta kerana melanggar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 sepanjang tahun lalu. 

Menteri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata rampasan dibuat melalui pemeriksaan Ops Cetak di 1,759 premis di seluruh negara. 

“Pemeriksaan ini dijalankan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan bagi menangani penerbitan yang tidak diingini,” katanya di sini malam tadi.

Saifuddin berkata KDN turut merampas 136 mesin dan peralatan percetakan bernilai RM1.5 juta pada tahun lalu.

“Operasi ini dilaksanakan di bawah Ops Tera yang menyasarkan mesin cetak tanpa lesen.

“Sebanyak 44 premis telah diperiksa tahun lalu, dengan 23 kertas siasatan dibuka. Hasil daripada pemeriksaan ini, 136 mesin cetak dan peralatan telah dirampas dengan nilai anggaran RM1.5 juta,” katanya. 

Terdahulu pada program itu, Saifuddin yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pembangunan Negeri Kedah, turut menyerahkan kontrak bagi empat projek pembangunan di Bandar Baharu bernilai lebih RM600,000. 

Beliau berkata, projek itu membabitkan pelbagai inisiatif infrastruktur yang telah dipohon dan diluluskan oleh kerajaan negeri.-BH Online