PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) belum memuktamadkan sebarang keputusan untuk melaksanakan sekatan perjalanan ke atas peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang gagal membuat bayaran balik.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata ini kerana sekatan berkenaan bukanlah satu-satunya pendekatan yang boleh dilakukan untuk memastikan peminjam melunaskan tunggakan pinjaman masing-masing.
Katanya, KPT ketika ini sedang mengambil pendekatan holistik dalam menyelesaikan isu tunggakan pinjaman PTPTN.
“Kita belum lagi mengumumkan (ketetapan mengenai sekatan perjalanan), tetapi sudah mengadakan langkah (untuk menyelesaikan isu tunggakan pinjaman PTPTN) seperti yang dilakukan sebelum ini.
“Ia bukan hanya melihat langkah yang disebutkan sepetti sekatan perjalanan dan sebagainya, tetapi bagaimana pelbagai pendekatan yang perlu dilakukan untuk pastikan peminjam membayar balik.
“Ini termasuk dengan mengadakan kutipan ataupun ejen tertentu untuk memaklumkan kepada mereka (peminjam untuk membayar balik pinjaman),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Ihya Ramadan bersama warga KPT yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.
Sementara itu, Zambry berkata, jumlah bayaran balik pinjaman PTPTN dilaporkan terus meningkat selepas agensi itu menghantar 2.1 juta surat peringatan kepada peminjam yang memiliki tunggakan.
Beliau berkata, tindakan menghantar surat peringatan antara langkah dilaksanakan PTPTN bagi memastikan peminjam membuat bayaran balik.
“Kita sudah menghantar 2.1 juta surat untuk memaklumkan kepada peminjam supaya membayar balik pinjaman mereka.
“Kita lihat ada peningkatan daripada segi pembayaran, selain akan meneliti secara menyeluruh apakah faktor yang membolehkan kita membuat kutipan pinjaman daripada peminjam,” katanya.-BH Online