Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR : Pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi tidak wajar dilihat sebagai kos perniagaan, sebaliknya ia satu pelaburan yang memacu inovasi, produktiviti dan pertumbuhan ekonomi.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, perniagaan dibangunkan bukan semata-mata atas keuntungan, sebaliknya dipacu daripada sumber manusia.

Justeru, kata beliau Premier Employers Network (PEN) diperkenal untuk mengiktiraf majikan yang terbaik. 

“Inilah sebabnya mengapa inisiatif seperti PEN penting. Sebagai majikan, peranan anda melangkaui penciptaan pekerjaan, anda adalah arkitek tenaga kerja masa depan Malaysia.

“Keupayaan anda untuk membangunkan bakat akan menentukan daya tahan ekonomi dan daya saing global Malaysia,” katanya dalam ucapan pada Majlis Pelancaran PEN di ibu negara, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Azman Mohd Yusof. 

Turut sama hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), Datuk Shahul Hamid Shaik Dawood.

Mengulas lanjut, Steven berkata, menerusi PEN, majikan premier akan mendapat akses eksklusif kepada pasukan pakar yang akan memastikan penyelesaian lebih bersesuaian, proses lebih lancar serta perkhidmatan yang diberikan keutamaan.

“Bagaimanapun PEN lebih daripada manfaat eksklusif, ia mewakili penanda aras baharu untuk pembabitan majikan dalam pembangunan tenaga kerja,” katanya.

Beliau juga menggesa semua majikan dalam PEN untuk memaksimumkan manfaat program itu dan terus melabur dalam pembangunan bakat.

Dalam kenyataan berasingan, HRD Corp memaklumkan menerusi PEN, enam manfaat bakal dinikmati majikan premier bermula 1 Jun ini, antaranya Polisi Geran Fleksibel, yang mana proses permohonan geran dan Customised Allowable Cost Matrix (ACM) untuk ahli yang layak akan lebih mudah.

Selain itu, dana bakat industri membolehkan penggunaan levi untuk pembangunan industri, membolehkan syarikat induk menyokong anak syarikat dan industri berkaitan.

Manfaat lain diperoleh dalam PEN, proses kelulusan pantas merangkumi semua fungsi perniagaan serta menyatukan perkhidmatan ke dalam satu saluran akses pengumpulan pengguna, pilihan dropdown dan papan pemuka utama.-BH Online