Kuala Terengganu: Masyarakat diminta membuat laporan sekiranya terdapat agamawan atau guru agama yang terbabit dalam kejadian jenayah, termasuk jenayah seksual.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata langkah itu penting bagi membolehkan tindakan lanjut diambil pihak berkaitan, termasuk menggantung atau menarik balik tauliah mengajar yang diberikan.
“Saya harap sangat kepada masyarakat untuk buat laporan sebab kita nak sabitkan, contohnya kalau jabatan agama Islam atau badan berkuasa negeri yang memberikan tauliah kepada guru-guru yang mengajar, kalau kita nak tarik balik tanpa ada sebarang sabitan pun agak sukar.
“Jadi sebab itulah saya harapkan sangat kalau masyarakat mengetahui kelakuan jenayah mana-mana pihak supaya buat laporan, supaya tindakan yang adil dapat diambil apabila dia didapati bersalah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Berbuka Puasa dan Penjenamaan Semula Hotel Wakaf The Grand Puteri Hotel, di sini, hari ini.
Menurut Mohd Na’im, golongan agamawan dan guru agama diharapkan dapat memberi contoh yang terbaik bagi mendidik masyarakat.
Katanya, golongan berkenaan tidak sepatutnya menyalahgunakan ilmu yang ada dan kepercayaan diberikan masyarakat apabila terbabit dalam salah laku jenayah dan sebagainya.
“Tetapi secara umumnya, harapan saya sebagai Menteri Agama, kita harapkan supaya golongan agamawan ini dapat menunjukkan contoh sahsiah peribadi yang baik supaya masyarakat dapat berubah berdasarkan kepada akhlak yang ditunjukkan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun mendakwa dipukul seorang lelaki tidak dikenali akibat perselisihan faham ketika kedua-dua individu berkenaan sedang memandu di kawasan Saujana Impian.
Akibat kejadian itu, remaja lelaki berkenaan mengalami retak pada tulang batang hidung dan mendapatkan rawatan di Hospital Kajang.
Berikutan itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) diarah membuat semakan sama ada agamawan atau guru yang terkait dengan kes mencederakan seorang remaja lelaki di Kajang baru-baru ini memegang sebarang bentuk tauliah mengajar yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Dalam pada itu, Mohd Na’im menasihatkan produksi dan pengamal media untuk mematuhi Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam yang dikeluarkan pada 2015.
“Tanggungjawab kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah mendidik dan mengeluarkan garis panduan.
“Ia diserahkan kepada pengamal dan produksi media untuk ikut supaya tahu bila nak buat drama, ada garis panduan yang perlu dipatuhi dan di pihak Jakim dan agensi agama, kita sentiasa berhubung.
“Kalau ada pelanggaran, Jakim akan bekerjasama dengan pihak berkaitan untuk memberikan maklumat,” katanya.-MyMetro Online