SHAH ALAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak segelintir pihak yang sering memainkan sentimen perkauman untuk membangkitkan kegusaran dalam kalangan rakyat di negara ini.
Perdana Menteri menegaskan, tindakan sedemikian sudah lapuk, selain menyifatkannya sebagai pendekatan ‘desperado’ dalam politik.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen DAP Ke-18 di sini hari ini.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut mengkritik pendekatan pihak terbabit yang dikatakan lebih gemar memainkan sentimen perkauman, berbanding membahaskan dasar kerajaan.
Presiden PKR itu turut menegaskan luahan berkaitan sentimen perkauman diketengahkan pihak terbabit tidak memberi gambaran sebenar mengenai situasi yang berlaku di negara ini.
“Tiada skandal membabitkan pimpinan negara…rasuah atau salah guna kuasa, yang ada ialah memperalatkan isu kaum (kononnya) kerajaan lemah kerana tunduk kepada kuasa parti, khususnya DAP.
“Apakah mereka tidak kenal DAP? Mereka kenal. Dalam Pakatan Rakyat dulu hampir 15 tahun PAS bersama DAP. Semasa PH di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad, orang yang sekarang BERSATU pun pernah duduk semeja dengan pimpinan DAP.
“Apakah luahan mereka itu (adalah) kenyataan benar? Tidak. Luahannya adalah golongan ‘desprate’ (terdesak), ini yang dikatakan ‘desperado’ dalam politik.
“Tiada kritikan dasar (atau) pandangan baharu, tetapi bawa gendang lama (mahu) menakutkan masyarakat Melayu mengenai kemaraan kelompok Cina, apatah lagi yang diperjuangkan dengan lambang DAP,” katanya merasmikan Kongres DAP Ke-18 di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu; Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, Datuk Ewon Benedick dan veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang.
Hadir sama, Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Pengerusi DAP, Lim Guan Eng; Naib Presiden PKR, K Saraswathy dan Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil.-BH Online