MARANG: Punca kebakaran 113 hektar kawasan kebun nenas dan hutan gambut di Kampung Cenderawasih, Pekan, Pahang sejak 7 Mac lalu berpunca daripada perbuatan manusia.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohamad, berkata pemantauan dan siasatan pihaknya mendapati ada sekumpulan individu dikatakan melakukan aktiviti tidak sihat di situ.
Beliau berkata, sehingga hari ini operasi pemadaman berkenaan masih giat dijalankan.
“Saya yakin kebakaran ini adalah perbuatan manusia kerana berdasarkan kepada kita punya maklumat daripada bawah terdapat sekumpulan individu yang selalu lepak di kawasan tersebut.
“Pada mulanya kita syak berlaku daripada kebun nanas namun selepas disiasat ia mendapati bermula daripada kumpulan ini memulakan kebakaran ketika melakukan aktiviti tidak sihat di situ itu,” katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Tamat Latihan Diploma Lanjutan Sains Kebombaan dan Kursus Sijil Sains Kebombaan JBPM, di Akademi Bomba Dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai, di sini, hari ini.
Nor Hisham berkata, seminggu lalu di kawasan Gebeng, Kuantan, berlaku tiga kebakaran hutan yang mana dua lokasi kebakaran bercantum menjadi satu manakala satu lagi berada di lokasi lain dengan keluasan 70 hektar keseluruhannya.
Selain itu, beliau berkata, pihaknya sudah membuat perjumpaan khas dengan Pejabat Daerah, Penghulu dan Ketua Kampung, selain bersama pihak polis serta Jabatan Perhutanan.
Beliau berkata, pelarasan sudah dibuat pihak Jabatan Perhutanan, Jabatan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pejabat Daerah akan membantu pemadaman dengan kaedah pembanjiran menyeluruh.
“Kita juga meminta pihak polis meningkatkan rondaan supaya tiada lagi individu yang tidak bertanggungjawab cuba membakar di kawasan berkenaan.
“Cuaca panas kini di Pekan dan Kuantan, Pahang, hingga berlakunya kebakaran hutan yang luas dan ini adalah isu lokal yang mana tindakan sudah serta sedang dilaksanakan supaya kebakaran tidak berulang,” katanya.
Mengulas mengenai titik panas yang boleh mencetuskan kebakaran terbuka, beliau berkata, terdapat 652 titik panas yang di kenal pasti melalui cerapan berdasarkan kepada rekod tiga tahun terkebelakang ini.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, puratanya sebanyak 413 lokasi membabitkan kawasan belukar dan lalang, 142 lokasi pinggir hutan dan 50 pusat pelupusan sampah haram terbuka di seluruh negara dikenal pasti.
Katanya, tiga tempat berkenaan diberikan tumpuan oleh jabatan itu bagi mengelak berlakunya kebakaran terbuka selain tindakan berwaspada diambil pihaknya.
Nor Hisham berkata, tahun 2023 pihaknya menerima 5,600 panggilan membabitkan kebakaran hutan, berbanding 16,700 panggilan tahun lalu.-BH Online