CYBERJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi ketegasannya dengan memberi amaran kepada mana-mana pihak yang cuba untuk memarakkan suhu perkauman di negara ini tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan sekeras-kerasnya.
Perdana Menteri menegaskan, tindakan itu selaras dengan keputusan Jemaah Menteri diumumkan.
“Terutama sekarang di Malaysia ini, kita mesti tumpu dalam soal-soal ini dan jangan izinkan negara dicemari oleh pelampau perkauman dan agama seperti yang kita dengar.null
“Dan keputusan Jemaah Menteri seperti yang diumumkan siapa saja mulai sekarang yang cuba menghangatkan suhu perkauman dan kebencian kepada kaum dan agama, kaum majoriti atau kaum minoriti, kaum kaya atau kaum miskin, menghina dari sudut kaum dan agama.
“Percayalah kita (kerajaan) akan ambil tindakan sekeras mungkin untuk menghentikan gejala yang mungkin membawa malapetaka dan kecelakaan kepada negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis berbuka puasa bersama syarikat korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia Malaysia (MMU) di sini, hari ini.
Yang Turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.
Terdahulu, Perdana Menteri mahu semua kaum di negara ini bersama menoktahkan isu perkauman sekali gus bergerak ke hadapan dalam memastikan negara terus stabil.
Menurut Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, tindakan itu dapat menjamin supaya perpaduan antara kaum di negara ini kekal mekar dan harmoni.-BH Online