Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Fiji menyatakan minat terhadap model pembangunan Malaysia, khususnya pendekatan MARA dalam memperkasakan sektor ekonomi dan pendidikan negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, perkara itu disampaikan rakan sejawat dari Fiji, Sitiveni Rabuka, melalui perbualan telefon bagi membincangkan usaha memperkukuhkan hubungan dua hala.

“Saya menyambut baik hasrat ini dan bersedia untuk berkongsi pengalaman serta kepakaran Malaysia dalam bidang-bidang berkenaan,” katanya dalam hantaran melalui Facebook, hari ini.

Anwar berkata, Malaysia turut mengalu-alukan kehadiran pelajar dari Fiji dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET); Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM); serta teknologi maklumat.

Dalam perbualan telefon berkenaan, Perdana Menteri berkata, beliau turut menjemput rakan sejawatnya itu untuk menyertai program latihan pembangunan kapasiti bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).

“Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada pembangunan sumber manusia melalui latihan dan perkongsian kepakaran,” katanya.

Anwar turut menzahirkan penghargaan atas pembukaan semula Suruhanjaya Tinggi Fiji di Kuala Lumpur, awal tahun ini, yang mencerminkan komitmen tegas negara itu dalam memperkukuhkan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Malah bagi mempereratkan hubungan dua hala, Anwar turut mengundang Rabuka untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia.

“Saya percaya pertukaran lawatan peringkat tinggi akan terus mempereratkan hubungan antara kedua-dua negara dan membuka lebih banyak peluang kerjasama strategik,” katanya.-BH Online