KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan memberi jaminan semua makanan yang membahayakan dan boleh memberi kemudaratan kepada pelajar termasuk gula-gula berbentuk peranti vape dan rokok tidak akan dijual dalam kawasan sekolah.
Menterinya, Fadhlina Sidek, ketika menegaskan perkara itu berkata, kementerian itu akan menghalang perkara itu sekiranya ada pihak berbuat demikian.
“Saya mengulangi penegasan bahawa semua makananyang membahayakan dan boleh memudaratkan pelajar tidak dibenarkan sama sekali dijual di dalam premis sekolah.null
“Dalam premis KPM, saya beri jaminan tidak akan ada makanan yang membahayakan. Namun bagi mereka yang menjual di luar premis atau luar kawasan sekolah, ia memerlukan kerjasama beberapa pihak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Justeru saya minta kerjasama pengetua dan guru besar supaya mengadakan perbincangan dengan PBT bagi memastikan makanan membahayakan itu tidak diperoleh dengan mudah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Jaulah Ramadan KPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lilbanat, di sini, hari ini.
Semalam media melaporkan, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa tindakan segera diambil berkaitan penjualan produk gula-gula berbentuk seperti rokok dan peranti rokok elektronik atau ‘vape’, termasuk mengharamkan penjualannya.
Pegawai Pendidikan CAP, Encik N V Subbarow, berkata penjualan gula-gula itu memberi kesan negatif, terutama kerana ia mendorong murid sekolah untuk terjebak dalam kegiatan menghisap ‘vape’ dan merokok.-BH Online