KUALA LUMPUR: Pasukan Gerakan Am (PGA) diarah mempertingkat rondaan di lokasi ‘hotspot’ dan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok susulan insiden tembakan dan letupan bom di wilayah negara jiran itu malam tadi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, beliau juga sudah mengarahkan setiap operatif PGA untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan kawalan di pos keselamatan di sepanjang Sungai Golok.
Beliau berkata, langkah itu bertujuan mencegah kemasukan individu tidak diingini ke negara ini.
“Semua PGA sudah diarah mempertingkat rondaan di pangkalan haram dan kawasan ‘hotspot’ di sepanjang Sungai Golok bagi memastikan ia tidak dibolosi penjenayah.
“Kompeni komander juga diarah untuk memantau keselamatan pos dan petugas selama 24 jam,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Razarudin berkata, Briged Tenggara dan Polis Kelantan sentiasa memantau keadaan di wilayah Narathiwat dan kawalan ketat dikuatkuasakan serta-merta sehingga situasi selamat.
“Namun, setakat ini tiada rakyat Malaysia atau dari Kelantan yang terbabit dan cedera.
“Difahamkan, kejadian letupan bom berlaku di hadapan stadium Pekan Sungai Golok dalam wilayah Narathiwat selepas waktu berbuka puasa iaitu kira-kira jam 6.25 petang (waktu Thailand),” katanya.
Malam tadi, dua sukarelawan polis dilapor maut, manakala lapan lagi cedera dalam kejadian serangan bersenjata dan letupan bom di hadapan Pejabat Daerah Sungai Golok.
Serangan berlaku kira-kira sejam selepas umat Islam di wilayah selatan Thailand itu berbuka puasa.
Jurucakap polis Sungai Golok berkata, insiden berlaku di sepanjang jalan Sungai Golok-Sungai Padi, berhampiran pasar raya Big C yang sering dikunjungi rakyat Malaysia.-BH Online