KUALA LUMPUR: Sektor swasta terutamanya syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) harus membuat penilaian berhubung pembabitan wanita yang kecil di peringkat pengurusan tertinggi, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menegaskan bahawa peranan wanita di sektor swasta adalah agak parah kerana penyertaan mereka yang sangat minimal.
“Saya sudah gesa tahun lalu bahawa sektor swasta juga perlu ada pertanggungjawabannya.
“Sektor swasta terutama syarikat besar, syarikat kerajaan, GLIC harus mulai membuat penilaian mengapa di peringkat tertinggi jumlah wanita terlalu kecil,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri serta Timbalannya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Selaras tema sambutan tahun ini ‘Wanita Beraspirasi Membina Legasi’, Anwar berkata walaupun ketika ini terdapat peningkatan lantikan 30 peratus gred jawatan utama sektor awam (JUSA) dalam kalangan wanita dalam perkhidmatan awam, ia masih boleh diperbaiki.
Dalam ucapannya, Anwar berkata, ruang dan peluang secukupnya perlu diberikan kepada golongan wanita dalam semua aspek pembangunan negara.null
Katanya, perkara itu perlu diberi perhatian memandangkan masih terdapat kekurangan keterbabitan wanita termasuk pada peringkat pembuat dasar.
“Setiap kementerian perlu menumpukan program anjuran bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) ke arah memperkasakan golongan wanita.
“Kena ada komunikasi, mesti beri ruang yang secukupnya kepada wanita dalam kalangan penjawat awam walaupun kita saksikan beberapa tokoh utama yang diberikan ruang, kedudukan yang baik dengan prestasi yang membanggakan. Saya gesa Ketua Setiausaha Negara supaya mencari jalan meningkatkan peranan dan kedudukan wanita setimpal dengan keupayaan mereka,” katanya.
Menyentuh mengenai peranan wanita dalam politik, Anwar berkata, penyertaan dan penonjolan golongan itu tidak memenuhi sasaran awal oleh kerajaan.
Anwar berkata, penyertaan wanita dalam dunia politik perlu terus ditingkatkan kerana undi wanita juga memainkan peranan signifikan.
Katanya, jumlah wanita dalam politik adalah sekitar 14 peratus walaupun sasaran awal adalah sekurang-kurangnya 30 peratus.
“Ada juga macam parti saya tonjolkan, tapi ada yang tak menang. Namun harus ada gesaan dan saya fikir ini adalah ruang untuk pimpinan wanita menyatakan tuntutan mereka sebagai syarat untuk menyokong parti-parti dengan memastikan parti memberikan peluang kepada mereka untuk menyokong.
“Barulah saya fikir pimpinan parti ini memberikan perhatian yang lebih supaya penyertaan mereka lebih menyeluruh,” katanya.-BH Online