Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PAPAR: Sebanyak 96 bengkel PETRONAS AutoExpert (PAX) di seluruh negara akan menawarkan perkhidmatan servis kenderaan pada harga istimewa melalui Program Servis Ihsan MADANI@ PETRONAS Auto Expert (SIM@PAX) sempena sambutan Aidilfitri.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata program berlangsung 15 hingga 29 Mac itu menawarkan diskaun antara 10 dan 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran semasa bagi perkhidmatan servis kereta termasuk minyak pelincir mineral dan semisintetik.

Beliau berkata program kerjasama strategik Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan PETRONAS itu merupakan inisiatif kerajaan di bawah agenda Payung Rahmah MADANI yang telah dimulakan pada 24 Januari lepas sempena Tahun Baharu Cina.

“SIM@PAX menyasarkan pemberian manfaat kepada golongan berpendapatan rendah dalam mendepani cabaran kos sara hidup melalui penjimatan kos penyelenggaraan kenderaan sempena musim perayaan,” katanya dalam satu kenyataan selepas merasmikan program itu di sini hari ini.

Armizan berkata program itu akan diperluaskan dengan menawarkan perkhidmatan servis kenderaan dan minyak pelincir untuk kenderaan jenis diesel, khususnya bagi membantu pengguna di Sabah dan Sarawak serta peniaga kecil yang menggunakan kenderaan jenis enjin diesel seperti trak pikap.

Orang ramai boleh menyemak lokasi bengkel yang terlibat melalui laman sesawang www.mymesra.com.my dan membuat tempahan janji temu servis kenderaan bermula hari ini menggunakan aplikasi Setel.

Sementara itu, KPDN turut menjayakan Program Ikhlas Ramadan bersama Gas PETRONAS dengan pemberian sumbangan Gas PETRONAS kepada 100 orang peniaga Bazar Ramadan Tapak Tamu Mingguan, Papar, termasuk penukaran silinder gas secara percuma sebanyak dua kali kepada penjaja yang terlibat.– BERNAMA