PUTRAJAYA: Kadar pendaftaran MyDigital ID dijangka meningkat suku kedua tahun ini susulan pelaksanaan prapendaftaran secara automatik untuk rakyat Malaysia seawal umur 12 tahun dalam sistem itu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pendaftaran automatik itu adalah antara beberapa strategi yang diambil Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai agensi utama pelaksanaan prapendaftaran untuk meningkatkan pendaftaran. null
Katanya, strategi lain dipersetujui adalah pendaftaran semasa kehilangan MyKad yang mana turut dilaksanakan secara automatik.
“Kita berharap pada suku kedua tahun ini akan menyaksikan peningkatan bagi pendaftaran ini bagi membolehkan kita melakukan transaksi menggunakan kaedah log masuk tunggal,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Menteri Dalam Negeri Bersama Pengamal Media 2025, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Dr Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Seramai 1.8 juta rakyat Malaysia sudah mendaftar dengan My Digital ID sejak dilancarkan pada tahun lalu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.null
Saifuddin berkata, strategi itu dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Identiti Digital Nasional yang dipengerusikannya, hari ini.
Menurutnya, dalam mesyuarat ini, JPN diberikan tugas penting oleh KDN bagi melaksanakan program MyDigital ID.
Katanya, walaupun ia bukan satu kewajipan dari segi undang- undang, namun penggunaannya akan menjadi satu keperluan utama dalam urusan kerajaan dan seterusnya diperluaskan kepada sektor swasta.
“Angka ini masih rendah, sedangkan manfaat MyDigital ID sangat besar kerana ia akan mengesahkan identiti setiap individu yang berurusan dengan jabatan kerajaan dan akhirnya akan digunakan juga dalam sektor swasta,” katanya.-BH Online