KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasar untuk membentangkan cadangan pindaan atau penggubalan Akta Anti Ali Baba di Parlimen menjelang hujung tahun ini.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, berkata ketika ini kerajaan sedang dalam proses menjalankan kajian untuk merangka akta baharu itu bagi membolehkan penguatkuasaan perundangan rent-seeking bagi membendung kegiatan Ali Baba daripada terus berleluasa.
Proses penyediaan akta berkenaan akan dilaksanakan membabitkan pengumpulan input menerusi sesi libat urus dengan pemain industri, agensi penguatkuasaan serta pelbagai pihak berkepentingan lain.
“Tujuan utama kajian dilaksanakan adalah mengenal pasti masalah, cabaran, dan halangan yang berkaitan dengan rent-seeking termasuk aspek undang-undang, penguatkuasaan serta kesannya terhadap ekonomi dan masyarakat.
“Kajian ini bertujuan memahami dengan lebih jelas isu Ali Baba dalam pelbagai sektor, supaya tindakan undang-undang yang lebih berkesan dapat dilaksanakan.
“Antara cadangan pelaksanaan adalah melibatkan penggubalan dasar, strategi, dan inisiatif baharu yang lebih menyeluruh untuk mengatasi amalan rent-seeking di negara ini. Ini termasuk mencadangkan penggubalan undang-undang baharu seperti Akta Anti Rent-Seeking atau melakukan pindaan terhadap akta sedia ada,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen semalam.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) mengenai status penggubalan Akta Anti Ali Baba bagi menangani isu penguasaan warga asing dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang semakin berleluasa.
Memetik laporan sebelum ini, Rafizi berkata Akta Anti Rent-Seeking dicadangkan kerana kerajaan mendapati pada masa ini belum wujud undang-undang yang dapat membendung isu Ali Babab secara menyeluruh dan berkesan.
Akta sedia ada iaitu Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009, Akta Persaingan 2010, Akta Syarikat 2016 serta undang-undang kecil sedia ada masih tidak mencukupi untuk membendung aktiviti Ali Baba. -BH Online