KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, hari ini melakukan lawatan ke kapal pengangkut pesawat Tentera Laut Perancis, Charles de Gaulle (CDG) yang sedang melalui perairan negara di Laut China Selatan.
Dalam catatan melalui laman media sosial, Mohamed Khaled berkata pada lawatan itu, beliau diberikan taklimat terperinci mengenai kapal berkenaan dan operasinya oleh Komander Carrier Strike Group (CSG) Perancis, Laksamana Muda Jacques Mallard.
“Kapal pengangkut pesawat itu adalah ‘center force’ bagi CSG Perancis dan daya Tentera Laut Perancis yang menggabungkan pelbagai sumber serta kekuatan di sekitarnya bagi membolehkan CDG menjalankan misi pelbagai,” katanya.
Beliau berkata, CDG menempatkan antara lain pesawat pejuang Rafale serta pesawat Hawkeye, dengan diiringi kapal-kapal pendamping seperti kapal pemusnah dan kapal bekalan.
Kapal pengangkut itu baru menamatkan latihan bersama negara rakan di rantau ini dan sedang mengadakan pertemuan membabitkan pelbagai negara.
“Ia juga antara usaha negara itu dalam memperkukuh hubungan dan kerjasama pertahanan di rantau ini, termasuklah dengan Malaysia,” katanya.
Turut hadir dalam lawatan itu ialah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain.
Hadir sama ialah Duta Perancis ke Malaysia, Axel Cruau.null
Sementara itu, Kedutaan Perancis di Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, empat pesawat tempur Tentera Laut Perancis ‘Rafale’ CSG bersama enam jet pejuang dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membabitkan masing-masing dua Sukhoi Su-30, F/A-18 Hornet dan Hawks, menjalankan latihan tempur udara di perairan Pantai Timur, dekat Kuantan, hari ini.
Kedutaan itu memaklumkan latihan berkenaan meningkatkan kebolehoperasian dan mengukuhkan mekanisme serta proses kerjasama ketenteraan.
“Latihan peringkat tinggi ini dan interaksi dengan rakan-rakan serantau khususnya Malaysia, mencerminkan komitmen Perancis menggunakan aset ketenteraan dari tanah besar Perancis bagi menguatkuasakan undang-undang antarabangsa, mempertahankan kedaulatan dan melindungi akses bebas serta terbuka kepada umum,” katanya.
Kedutaan itu menegaskan Malaysia dan Perancis adalah rakan pertahanan lama, dan Perancis sangat menghargai kerjasama pertahanan dengan negara ini, yang diperkukuhkan menerusi pertemuan peringkat tinggi.-BH Online